Sebelum Jadi Suami Atau Isteri, Didik Dulu Diri Untuk Cekalkan Hati

Kita semua suka bermimpi dan berangan tentang cinta. Ingin mencintai dan dicintai itu fitrah. Jadi Islam menggalakkan perkahwinan, malah menjadikan ia ‘separuh dari agama’. Tapi untuk cinta itu bertahan, anda perlu tepikan angan-angan dan hadapi realiti.

Mencari hubungan yang bermakna dan penuh dengan kasih sayang itu bukan mudah. Dan bila anda dah berjumpa dengan si dia yang dicintai, usaha anda takkan berakhir di situ sahaja. Mengekalkan hubungan yang penuh dengan kasih sayang itu pastinya lebih sukar lagi. Ia memerlukan perhatian, kesedaran, pengorbanan, kemaafan, dan kepercayaan yang kadangkala kita sendiri tak dapat fahami. Namun disebalik kesulitan dan kerumitan ini, kita masih bersungguh mencari cinta yang sejati. Kita hidup dalam kesedihan selagi belum menemuinya, dan bila dah jumpa, kita sedih kerana takut kehilangannya. Pelik kan manusia?

Realitinya, ramai orang yang masih bertahan dalam perkahwinan mereka walaupun ianya tak ada nilai-nilai cinta dan ketenangan seperti yang Allah SWT sebutkan dalam Al-Quran. Ada pasangan yang terlalu kerap bergaduh, ada yang melibatkan anak-anak, dan ada pula yang langsung dah tak bercakap tapi masih bertahan sebab tak sanggup nak bercerai. Perkara seperti ini berlaku bila ramai diantara kita yang pentingkan diri sendiri dalam perkahwinan. ‘ Ini hak saya’, ‘saya nak ini’, ‘ perkahwinan sepatutnya buat saya rasa begini’. Dengan sikap ini, sukar untuk anda nilai diri sendiri dan tanggungjawab sendiri dalam perkahwinan.

Sebenarnya kita mampu mencintai orang lain dengan sepenuh hati. Sebenarnya kita mampu buka hati kita dan cari ketenangan bersama orang lain. Bahagia itu bermula dari diri sendiri. Bila hati kita bebas dari dendam, rasa dengki dan benci, kita pasti mampu menerima seseorang seadanya. Bila kita didik hati untuk bebas dari perkara-perkara negatif, hati kita akan terasa bebas. Nanti ia akan mampu mencuba, menghargai dan menjadi matang. Perasaan hati kita akan sentiasa berubah-ubah. Kita manusia biasa, jadi iman kita akan sentiasa turun naik. Ada masa kita rasa sayang dan yakin, ada masa timbul rasa syak dalam hati kita. Di masa-masa inilah anda perlu saling memahami dan tepikan perasaan sendiri.

Sumber redaksi.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *