Boleh Kurangkan Berat Badan, Ini Antara Manfaat Bunga Raya Yang Ramai Tak Tahu

Ramai tak tahu bahawa sebenarnya bunga raya ini terdapat pelbagai manfaat. Bagi mengetahuinya, ikuti artikel ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang amat bertuah kerana memiliki pelbagai kebaikan sama ada dari segi kesuburan tanah, makanan mahupun iklim.

Disebabkan memiliki tanah yang subur, tumbuh-tumbuhan mudah membiak dan segar malah memiliki manfaatnya yang tersendiri.

Kebanyakan tumbuhan yang ada di sini mampu dijadikan sebagai penawar. Sebagai contoh, bunga raya. Selain menjadi bunga kebangsaan, bunga raya dikatakan boleh dijadikan sebagai inisiatif bagi merawat pelbagai penyakit.

Boleh dikatakan, hampir keseluruhan pokok bunga raya dapat dijadikan sebagai ubat. Pasti ramai yang tidak mengetahui perkara ini.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan manfaat bunga raya kepada kesihatan, ikuti perkongsian menerusi portal Hello Doktor seperti berikut:

Bahagian pokok bunga raya yang boleh digunakan

Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawa beberapa bahagian pokok bunga raya ini digunakan untuk pelbagai tujuan di seluruh dunia. Antaranya ialah:

Daun:Daun muda pokok bunga ini kadangkala digunakan sebagai pengganti kepada sayur bayam dan ia bertindak sebagai sumber kecemasan bagi menggantikan sayur-sayuran hijau

Bunga: Bunganya boleh dijadikan sebagai jeruk atau digunakan sebagai pewarna makanan yang selamat. Ia juga boleh dikeringkan dan dijadikan sebagai teh
Akar: Akar pokok ini boleh dimakan. Walau bagaimanapun, ia sangat berserabut dan tidak mempunyai banyak rasa
Potensi kurangkan tekanan darah

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2011 dalam Natural Medicine Journal menyatakan bahawa, teh bunga raya dan ekstrak pokok bunga ini berpotensi mengurangkan tekanan darah dan tahap kolesterol.

Walaupun lebih banyak kajian diperlukan bagi menyokong teori ini, ini merupakan satu berita kecil yang amat menjanjikan.

Orang-orang Mesir purba telah menggunakan teh bunga raya ini bagi menurunkan suhu badan dan meningkatkan pengeluaran air kencing.

Di Afrika pula, ia digunakan untuk merawat sembelit, penyakit hati dan simptom selesema. Pulpa daunnya pula digunakan untuk merawat luka.

Potensi mengurangkan berat badan

Bunga raya mempunyai potensi yang menjanjikan dalam membantu mengurangkan berat badan selain mempunyai ciri anti kanser.

Kajian terbaharu menyatakan, ekstrak pokok bunga raya ini mungkin mempunyai kesan terhadap metabolisme yang boleh mengelakkan obesiti dan pengumpulan lemak dalam hati.

Tidak terdapat kajian yang menyeluruh mengenai teori ini, walau bagaimanapun, sesetengah kajian seperti yang diterbitkan dalam jurnal Toxicology and Appied Pharmacology menyatakan, anthocyanin yang terdapat dalam bunga ini merupakan kunci kepada ciri anti kanser yang dimilikinya.

Penggunaannya dalam perubatan tradisional

Bunga raya ini telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional orang-orang Cina dan Ayurveda. Akarnya digunakan untuk membuat campuran herba sebagai remedi keguguran rambut, batuk yang berpanjangan dan untuk menghilangkan kutu rambut.

Pokok bunga dengan bunga yang kemerahan ini bukan hanya popular di Malaysia, malah ia turut popular dalam budaya masyarakat di bahagian lain dunia.

Ia amat dihargai dalam perubatan tradisional Cina, sebab itulah bunga ini kadangkala disebut sebagai ‘ Chinese hibiscus’ atau ‘China rose’.

Mungkin selepas ini, anda boleh mencuba dengan mengeringkan kelopak bunga ini dan menjadikannya sebagai bahan utama teh bunga raya. Teh bunga raya, dengar macam sedap!

sumber : hello doctor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *