Berkahwinlah, Hari-Hari Hari Kekasih

Bulan Februari bukanlah istimewa berbanding bulan-bulan lain. Tiada apa yang menjadikannya lebih menarik. Apatah lagi sekiranya dibandingkan dengan bulan-bulan Islam yang jelas mempunyai kelebihan tersendiri. Bulan Ramadan sebagai contoh, jelas terkandung di dalamnya pelbagai kelebihan bagi umat Islam. Pada bulan ini, umat Rasulullah S.A.W. dijanjikan dengan pelbagai ganjaran pahala. Lakukanlah apa sahaja amalan soleh, pahalanya begitu besar. Maka, Ramadan adalah istimewa kepada seluruh umat Islam, tetapi mengapa masih ramai remaja yang tidak menghargainya? Ya, bagi umat Islam adalah sewajarnya untuk kita mengetahui, meraikan bahkan mengambilnya sebagai kesempatan bagi meningkatkan amalan. Namun, agak menyedihkan apabila ada di kalangan umat Islam sendiri bukan sahaja tidak mengetahui tentang kelebihan yang ada pada bulan Islam.

Bahkan mengagung-agungkan pula apa yang tidak pernah disambut oleh Islam itu sendiri. Sambutan Hari Kekasih atau disebut Valentine’s Day adalah salah satu tanda betapa kita berada dalam keparahan mengenal pasti apakah yang dimaksudkan sebagai Hari Kekasih? Virus menyambut Hari Kekasih pada setiap 14 Februari seakan-akan merebak menjadi barah. Ramai dalam kalangan umat Islam terutama kalangan anak-anak muda yang cetek agama meraikan hari yang kononnya untuk mengingati pasangan kekasih masing-masing. Bagi remaja, meraikan sambutan Hari Kekasih seolah-olah telah menjadi satu fenomena atau kewajipan untuk mereka. Ia dianggap sebagai acara atau perayaan yang paling diminati dan ditunggu-tunggu untuk diraikan bersama kekasih. Virus ini, sebenarnya amat menggusarkan, membimbangkan dan menakutkan. Ayuh kita kupas isu ini lebih lanjut bagi mendapatkan pandangan dan nasihat berguna daripada saudara Mohd Sofian bin Mohd Resali sekalu Editor Buku Karya Bestari, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd. Dia juga merupakan penulis berbakat sebuah buku ilmiah, Kita Tenggelam Dalam Nafsu dengan nama penanya, Sofian Resali.
Haram Menyambut Hari Kekasih.

Bagi mereka yang meraikan Hari Kekasih, setiap pasangan seolah-olah meluahkan rasa kasih dan cinta mereka sesama sendiri. Malah, ada yang dek kerana kejahilan sanggup menyerahkan kehormatan diri kepada pasangan kekasih demi membuktikan perasaan cinta yang agung. Benar-benar menakutkan dan membimbangkan. Tahukah anda bahawa hukum merayakan Hari Kekasih sebenarnya telah diisytiharkan sebagai haram. Bahkan majoriti tokoh agama negara ini telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih sebenarnya bertentangan dengan syarak. Malah, menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Buktinya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan agama Islam. Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang sama dengan agama Islam. Namun, perlu diingat bahawa pengharaman dan larangan ini dilakukan bukanlah kerana dengki atau hasad pada aktiviti berkenaan dan menyekat kebebasan individu. Apa yang penting adalah ia ditegah berdasarkan kepada apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *